Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

3 Mac 2012

Nasi Ayam dengan Ayam Goreng Rempah

Hari ini Kak Noor masak nasi ayam untuk makan tengah hari. Agak lama juga tak masak nasi ayam sendiri. Asyik beli kat kedai aje. So sempena cuti hujung minggu, bolehlah lama-lama sikit kat dapur. Ayamnya pula Kak Noor masak goreng berempah, special lah sikit. Resepi nasi ayam ini adalah olahan Kak Noor sendiri dan inilah resepi yang Kak Noor gunakan kalau memasak nasi ayam. Kak Noor gunakan beras basmathi untuk memasak nasi ayam ini.



Pada N3 kali ini Kak Noor akan muatkan resepi set hidangan Nasi Ayam yang terdiri daripada nasi ayam, ayam goreng berempah, sup, sos cili, dan sos kicap.

(1) NASI AYAM - (Masak Guna Rice Cooker)

Bahan-bahannya:
4 cawan beras basmathi - dibersihkan dan direndam seketika lebih kurang ½ jam
*6 cawan stok ayam – resepi seperti di bahagian sup ayam (gunakan cawan yang sama semasa menyukat beras)
1 kiub ayam
1 sudu kecil serbuk kunyit - untuk menjadikan nasi berwarna kuning
1 sudu kecil minyak bijan
Sedikit garam
2 helai daun pandan dicarik dan disimpul

Bahan-bahan Tumis: (Ditumis di dalam kuali yang berasingan)
1 biji bawang besar - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia - dihiris
1 inci kulit kayu manis
2 biji buah pelaga
2 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
2 sudu besar mentega - untuk menumis

Penyediaannya:
1. Toskan beras yang telah direndam tadi dan ketepikan.
2. Panaskan kuali. Tumis kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, dan pelaga sehingga naik bau. Kemudian masukkan hirisan bawang besar, bawang putih, dan halia. Tumis sehingga bawang berwarna kekuningan.
3. Masukkan beras di dalam rice cooker beserta air rebusan ayam, bahan-bahan tumisan, kiub ayam, daun pandan, serbuk kunyit, minyak bijan, dan garam secukup rasa.
4. Masak seperti biasa. Bila nasi telah masak, gembur (kaup balikkan) dengan senduk kayu supaya nasi tidak melekit.
5. Taburkan dengan daun sup, daun bawang, dan bawang goreng semasa menghidang. 



(2) SUP AYAM

Bahan-bahannya:
1 ekor ayam saiz sederhana besar – dipotong 12
Air untuk merebus ayam secukupnya
2 inci halia – dititik dan dihiris kasar
3 ulas bawang putih – dititik dan dihiris kasar
1 sup bunjut
1 kiub pati ayam
Serbuk lada hitam
Bawang goreng
Daun sup dan daun bawang

Penyediaannya:
  1. Ayam dibersihkan dan dipotong 12.
  2. Masukkan ayam bersama bahan-bahan di atas di dalam periuk kecuali serbuk lada hitam, bawang goreng, dan daun sup/daun bawang. Masak sehingga mendidih dan ayam empuk.
  3. Keluarkan ayam dan ketepikan. *Ambil 6 cawan stok untuk memasak nasi dan ½ cawan lagi untuk sos cili dan sos kicap.
  4. Kemudian masukkan serbuk lada hitam di dalam baki kuah sup. Sekiranya berkehendakkan sup yang lebih, boleh tambahkan air lagi dan garam secukup rasa. Masak sehingga sup mendidih.
  5. Taburkan dengan hirisan daun sup/daun bawang dan bawang goreng semasa menghidangkan sup.



(3) SOS CILI THAI 

Bahan-bahannya:
Sos cili Thai – Kak Noor gula jenama LIFE
1 sudu kecil margerin
2 ulas bawang putih - dititik dan dihiris kasar
Stok ayam (air rebusan ayam)
Garam dan gula
1 sudu kecil tepung jagung – dibancuh dengan sedikit air (sekiranya sos cair)

Penyediaannya:
Panaskan margerin di dalam periuk. Tumis bawang putih sehinga naik bau. Selepas itu masukkan stok ayam, diikuti dengan sos cili Thai. Kacau rata. Perasakan dengan garam dan gula sekiranya perlu. Sekiranya sos cair, boleh masukkan bancuhan tepung jagung untuk menjadikan sos pekat.

(4) SOS KICAP

Bahan-bahannya:
Kicap lemak manis secukupnya – Kak Noor guna jenama JALEN
1 sudu kecil margerin
2 ulas bawang putih – dititik dan dihiris kasar
Stok ayam (air rebusan ayam)
Garam dan gula
1 sudu kecil tepung jagung – dibancuh dengan sedikit air (sekiranya sos cair)

Penyediaannya:
Panaskan margerin di dalam periuk. Tumis bawang putih sehinga naik bau. Selepas itu masukkan stok ayam, diikuti dengan kicap manis. Kacau rata. Perasakan dengan garam dan gula sekiranya perlu. Sekiranya sos cair, boleh masukkan bancuhan tepung jagung untuk menjadikan sos pekat.

(5) BAHAN HIASAN/ULAMAN
Timun – dibuang kulit dan dihiris serong
Tomato – dihiris bulat
Daud salad
Daun sup/daun bawang – dihiris
Bawang goreng





(6) AYAM GORENG REMPAH 

Bahan-bahannya:
1 ekor ayam (12 ketul ayam) yang telah direbus empuk.
1 sudu kecil minyak bijan
2 sudu besar kicap manis
Garam secukup rasa
2 tangkai daun kari
Minyak untuk menggoreng ayam

Bahan Perap Ayam: (Semua bahan disatukan dan diblend)
2 sudu besar mustard honey and herb marinade – boleh didapati di pasar raya
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil serbuk ketumbar
2 sudu kecil serbuk cili
1 sudu kecil serbuk lada hitam
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
2 batang serai

Penyediaannya:
  1. Gaul ayam dengan bahan perap, minyak bijan, kicap manis dan garam secukup rasa. Kemudian masukkan dalam storage zipper bad dan letakkan di dalam peti sejuk sekurang-kurangnya dua jam supaya bahan-bahan perapan sebati dengan ayam. Lagi elok kalau perap semalaman. 
  2. Panaskan minyak dan goreng ayam sehingga masak. Masukkan daun kari di dalam minyak semasa menggoreng. Toskan.



    Iklan Nuffnag

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

    Iklan

    Iklan Nuffnang