Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

19 Oktober 2011

Kari Ayam Utara ala Bonda

Agak lama juga Kak Noor tak buat kari ayam ni sebab dah lama tak beli ayam. Kak Noor lebih suka beli ayam organik kalau nak buat kari ayam. Ayam organik ni selalunya dibeli di pasar tani dan juga kat kedai HPA. Lain rasanya, macam kari ayam kampung, teringat masakan bonda dulu-dulu.

Okay, tanpa berlengah lagi kita terus ke masakan kita hari ni. Kak Noor masak resepi ini seawal jam 5.30 pagi tadi untuk anak-anak kat rumah. Sempat juga snap beberapa keping gambar untuk dipaparkan; tetapi Kak Noor ni bukanlah amateur photographer. Gambar ala-ala kadar saja.


Bahan-bahannya:
1 ekor ayam dibersihkan dan dipotong ikut saiz yang anda suka
(hendaklah digaul dengan serbuk kunyit dan sedikit garam, dan diperap seketika)
1 cawan santan dicampurkan dengan 4 - 5 cawan air
(Kak Noor guna santan kelapa sawit Khalis; rujuk catatan Kak Noor mengenai santan ni)
Ubi kentang dibelah dua (kuantiti ikut citarasa)
2 biji tomato (dipotong dua atau empat, bergantung kepada saiz tomato)
3 biji cili hijau
Garam, gula, dan perisa secukup rasa
Minyak untuk menumis


Bahan-bahan A (untuk diblender):
5 sudu besar rempah kari ayam
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
2 inci halia
1 sudu besar serbuk cili/cili kering yang telah dikisar

Bahan-bahan B (untuk ditumis):
1 biji bawang besar dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
3 inci halia dihiris
2 batang kayu manis (ukuran @ 1 inci)
2- 3 kuntum bunga lawang
2-3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
4 tangkai daun kari
2 helai daun pandan

Penyediaannya:
Panaskan periuk dan masukkan minyak secukupnya. Tumis bahan-bahan B sehingga naik bau dan daun kari agak garing. Kemudian masukkan bahan-bahan A, kacau dan tutup periuk sehingga bahan-bahan rempah terbit minyak.

Memandangkan rempah agak pekat, masukkan sedikit air diikuti dengan ayam. Kacau sebati dan tutup periuk semula, biarkan lebih kurang 5 – 6 minit atau sehingga ayam ½ empuk. Masa ini air aroma ayam keluar dan bercampur dengan kuah.

Selepas itu masukkan santan, garam, gula, dan perisa dan kacau. Biarkan kuah mendidih. Kemudian masukkan ubi kentang dan masak sehingga empuk.

Akhir sekali masukkan tomato dan cili hijau. Biar mereneh seketika dan kemudian angkat. Jangan sampai tomato dan cili hijau layu.



Selain makan dengan nasi, kuah kari ini amat sesuai dicicah dengan roti jala, roti benggali, roti canai, capati dan juga pulut kuning.  Untuk pulut kuning, masak kuah sehingga pekat.



Untuk mendapatkan citarasa sebenar resepi ini, Kak Noor nak terangkan dengan lebih detail mengenai bahan-bahan yang telah digunakan untuk masakan ini.
 
Ramuan untuk ditumis; bawang besar, halia, bawang putih (semua dihiris), bunga cengkih, bunga lawang, pelaga, daun kari.  Semua ini membangkitkan aroma bau yang enak.  Hmm.... sedapnye...

 Ini dia rempah kari ayam dan daging cap `O' yang digunakan dalam  masakan ini. Kak Noor guna sudu besar untuk sukatan rempah.  Tapi kalau tak ada cap `O', rempah cap lain boleh jugak.

Santan kelapa sawit Khalis.  Dalam masakan ini, Kak Noor guna 1 cawan pati santan Khalis dicampur dengan 4 - 5 cawan cair untuk kuah.

Ubi kentang satu biji dibelah dua atau empat.  Bergantung kepada saiz ubi kentang.

Bahan terakhir dimasukkan.  Masak seketika dan angkat. Jangan sampai cili dan tomato layu.
Catat Ulasan

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang